Hasil Nukilan: Nhazz Ayunie
Editor:Ismiraihan
Dalam keramaian itu, aku merasakan gegak gempita suara orang –orang yang leka dengan kesibukan dunia, suka pada kefasikan dan kefakiran hati budi. Dari situ aku melewati mereka dalam keramaian. Kewujudanku seolah-olah tidak diperasankan oleh sesiapa jua orang yang berada di situ. Sungguhpun ramai di antara mereka adalah kenalanku sendiri.
Aku berjalan dan terus berjalan. Sehingga akhirnya aku tiba di suatu persimpangan. Aku memperlahankan langkahku. Demi memilih simpang yang manakah akan ku tuju, aku melihat ramai diantara mereka memilih jalan itu. Lalu aku pun melalui jalan yang mereka lalui itu dengan harapan mereka dapat membawa aku bersama mereka.
Dipertengahan jalan, aku merasakan jalan yang ku lalui semakin sempit. Sempit dengan ramai manusia yang pelbagai ragamnya. Dadaku menjadi sempit, sesempitnya jalan itu. Nafas kian sesak dan aku ingin mencari jalan keluar. Aku mahu keluar daripada kesempitan dan kesesakan itu.
Dengan nafas yang tersekat-sekat aku meneruskan perjalanan mencari jalan keluar. Dihadapanku terdapat satu simpang. Dan dihadapan simpang itu ada banyak lagi simpang. Aku buntu memikirkan manakah simpang yang harus aku pilih. Dengan nafas yang kian sesak, aku akhirnya memilih jalan yang kurang dilalui oleh orang ramai. Nafasku kembali pulih.
Namun begitu, perjalanan yang aku lalui ini tidak mudah untukku lalui. Banyak onar duri yang merintangi jalanku. Sesekali kaki ini berdarah dihiris duri-duri. Sesekali langkahku ini tersadung dibatasi akar kayu yang melintang. Aku melihat, ramai diantara mereka yang sama melalui jalan ini telah tersungkur rebah ke bumi. Ada juga diantara mereka yang berputus asa untuk meneruskan perjalanan lagi lalu berhenti sampai disini sahaja. Ada pula diantara mereka yang kembali kejalan yang lama dan ada juga yang memilih simpang yang lain.
Dalam ramai itu, masih ada yang kuat dan tegar dari tusukan duri-duri. Dan ada juga di antara mereka tidak langsung terkena duri mahupun tersadung akar. Tetapi mereka hanya membawa diri mereka tanpa memikirkan orang lain dibelakang mereka. Mereka tergamak hanya mampu melihat penderitaan dan kesakitan yang di alamiku dan orang2 yang senasib denganku. Aku merasa hampa. Tiada tempat untuk bersandar.
Dibawah suatu pohon, kusandarkan tubuhku. Bukan niat untuk berhenti berjalan tapi sekadar menghilangkan lelah dan merawat luka ini sendirian. Air mata menemani duka. Tiada kata yang dapat menggambarkan rasa. Tatkala melihat ramai yang megah berjalan, aku cuba melambai tangan dengan harapan mereka dapat menghulurkan bantuan. Tetapi tiada siapa pun diantara ramai itu yang sudi singgah apatah lagi menghulur tangan.
Aku kembali berdiri, tertingkut-tingkut berjalan dan terus berjalan lagi. Setibanya disuatu simpang, aku tersadung lagi. Ada dua simpang lewat dihadapanku. Ramai mereka melalui simpang kedua dan kurang yang melalui simpang pertama. Tiba-tiba aku disapa lembut oleh seseorang. Dan dia mengajakku pergi bersamanya. Dia memimpin dan memapahku dan melalui simpang yang pertama itu. Aku memandangnya dengan rasa terharu.
Pada jalan ini, kurasakan damai. Walaupun kurang yang melaluinya namun ia lebih menenangkan. Mereka yang memilih jalan ini saling kenal mengenali, bantu membantu, nasihat menasihati. Setiap orang yang melaui jalan ini, ramah dan mesra. Sungguhpun baru ku kenali tetapi lagak bicara mereka denganku seolah-olah telah lama berkenalan. Tidak seperti orang ramai pada jalan yang kulalui sebelum ini, ramai antara mereka adalah kenalan lama. Tapi lagak bicaranya seperti x pernah bersua.
Akhirnya pada jalan ini aku menetapkan perjalananku. Bersama mereka yang sudi memimpin jalanku. Lalu kutinggalkan jalan dahulu. Maka aku hilang dalam ramai itu. Aku meniti perjalananku kini dengan penuh rasa sayu dan terharu. Sungguhpun jalan ini masih terdapat banyak duri tetapi aku mengerti, duri ini adalah penawar segala duka lama. Walaupun sesekali langkahku lemah, namun ada banyak tempat untukku berpaut. Dan jika sesungguhnya jalan ini adalah jalan yang benar, maka aku berharap agar suatu hari nanti aku dapat memimpin yang lain untuk melalui jalan ini…
0 comments:
Post a Comment